Oleh;
En. Jafny Hj. Jaapar (GBKSM)
Anda mungkin pernah mendengar bidalan “masa itu emas”.
Sebenarnya masa itu lebih berharga dari segala emas yang ada di dunia ini. Ini
kerana, orang yang berjaya menggunakan sebahagian dari masanya untuk merancang
penggunaan dan penyusunan masa itu sendiri. Dengan cara itu, dia dapat
menggunakan masanya dengan sebaik-baiknya dan dapat pula menghasilkan kerja
yang bermutu tinggi. Orang yang gagal pula tidak mahu merancang masa kerana
menganggap itu sebagai perbuatan membuang masa. Dia terus sahaja mengharungi
masa tanpa sebarang strategi dan taktik, menyebabkan dia lemas kerana
kesuntukan masa.
Oleh itu kali ini, saya ingin berkongsi tip berkaitan
membina jadual belajar. Jadual belajar yang ingin disediakan perlulah realistik
dan boleh dilaksanakan dengan jayanya. Bagi memastikan jadual berjalan dengan
lancar, tindakan perlu dikawal dengan mengamalkan strategi penggunaan masa
secara berkesan. Beberapa konsep penting perlu difahami sebelum pelaksanaan
dilakukan.
Cekap
: iaitu belajar dengan betul,
menggunakan masa dan tenaga paling minimum
Efektif :
iaitu
cara belajar yang paling berkesan,
belajar dengan betul dan sempurna mengikut
keutamaan
Prinsip Pareto - 20:80 : Teori yang menekankan jika 20% daripada masa yang ada ditumpukan sepenuhnya
pada belajar, kita akan dapat menghasilkan 80% output; sebaliknya jika 80%
daripada masa yang ada digunakan untuk belajar, kita hanya akan mendapatkan 20%
output sahaja.
Hukum Parkinson : menegaskan bahawa kerja-kerja
bertambah mengikut masa yang ada jika tiada tempoh tamat. Kita akan mengambil
masa yang lama, kerap menangguhkan kerja, jika kerja yang perlu dibuat tidak
ditetapkan jangka waktunya.
Masa Perdana : waktu di mana kita merasa bertenaga, segar, otak yang
cergas dan produktif.
Berpandukan kepada konsep di atas beberapa tip boleh
dijadikan sebagai panduan membina jadual belajar :
- Perlu ada disiplin diri yang baik. Disiplin adalah aspek yang paling popular dalam kalangan pelajar. Disiplin diri yang lemah menyebabkan kita tetap gagal walaupun perancangan baik dan teratur.
- Hendaklah bijak mengatasi gangguan masa. Gangguan masa adalah gangguan yang menyebabkan anda tidak memperolehi masa berkualiti seperti yang anda rancangkan. Sebaik mana sekalipun perancangan ia akan gagal sekiranya wujud masalah atau gangguan semasa pelaksanaan. Oleh itu, gangguan masa perlu diatasi dengan cekap dan bijak.
- Ikut keutamaan aktiviti seperti yang telah dirancangkan. Ini terutamanya menyentuh soal aktiviti akademik dan sosial dengan rakan taulan atau keluarga. Soal ini juga ada kaitannya dengan disiplin dan ketegasan diri dalam mematuhi keutamaan tugas yang telah digariskan.
- Berikan tumpuan yang penuh pada masa menjalankan ulangkaji, dan kurangkan daripada terlalu banyak bercakap dan berbual kosong.
- Gunakan waktu perdana dengan lebih bermakna.
- Siapkan tugasan atau kerja rumah dalam jangka waktu yang dijadualkan.
- Berehat seketika jika terlalu letih membuat kerja.
- Rancang ikut keupayaan diri.
- Cari rakan yang boleh mengingatkan anda tentang masa yang telah anda rancang.
“Demi
masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang
beriman dan beramal soleh, dan nasihat-menasihati supaya menepati kebenaran dan
nasihat-menasihati supaya menepati kesabaran”.
Surah
al-Ashr (13):al-Quran
No comments:
Post a Comment