Kepada anak didikku sekalian; ini adalah surat jawapanku kepada kalian.
Ujian atau peperiksaan adalah ruang untuk menguji kefahaman pelajar. Melalui
peperiksaan yang diadakan, guru-guru dapat memahami kelemahan-kelemahan
pelajar. Hal ini membolehkan guru-guru memikirkan cara-cara untuk
membantu pelajar mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut supaya mereka
dapat menimba ilmu dengan lebih berkesan seterusnya mencapai kejayaan
dalam hidup.
Selain itu,
ujian atau peperiksaan juga merangsangkan pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh.
Kebanyakan pelajar berpendapat bahawa mendapat keputusan peperiksaan
yang cemerlang merupakan satu kebanggaan kepada mereka. Oleh sebab itu,
mereka akan belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan yang
cemerlang. Mereka akan berasa malu sekiranya gagal dalam peperiksaan.
Walau
bagaimanapun, terdapat juga guru-guru atau pelajar-pelajar yang terlalu
mementingkan keputusan peperiksaan. Sejak kebelakangan ini, berlakunya
banyak kes rasuah antara guru dengan pelajar ataupun kes meniru semasa
peperiksaan. Dengan adanya peperiksaan menyebabkan pelajar sanggup
menggunakan cara-cara yang salah untuk mendapatkan markah yang tinggi.
Hal ini menyemai sikap yang tidak sihat dalam diri mereka.
Seterusnya,
peperiksaan juga memberi tekanan kepada pelajar. Kehendak ibu
bapa dan guru menyebabkan pelajar memaksa diri mendapat keputusan
peperiksaan yang cemerlang. Jika pelajar tersebut tidak mengetahui cara
untuk melepaskan tekanan ini, maka pelajar tersebut mungkin berasa susah
untuk belajar. Hal ini menimbulkan pelbagai kesan negatif lain seperti
pengambilan pil khayal bagi meredakan tekanan.
Akhir kata,
peperiksaan mempunyai kebaikan dan keburukannya. Kita harus bekerjasama
untuk mengekalkan tujuan sebenar peperiksaan.
En. Jafny Hj. Jaapar
p/s : Semoga maju jaya Putera Puteri Seafield yang akan menduduki Peperiksaan Percubaan PMR, SPM dan Ujian Bulanan bagi Tingkatan 4 dan Tingkatan 6. Anda Berhak Untuk Berjaya !
No comments:
Post a Comment