Dalam artikel kali ini saya ingin membincangkan tentang satu sikap yang ada dalam setiap diri kita dan menjadi penyebab kepada kegagalan kita. Iaitu sikap bertangguh. Bertangguh maknanya kita dengan sengaja melambatkan atau tidak menyiapkan satu-satu kerja, aktiviti atau tugasan yang sememangnya penting atas alasan yang tidak penting. Sebaliknya kalau sesuatu kerja itu terpaksa diketepikan seketika kerana ada sesuatu yang lebih penting lagi yang mesti disiapkan, maka itu bukanlah bertangguh. Malangnya, ramai diantara kita atas alasan yang remeh temeh melambat-lambatkan sesuatu pekerjaan.
Mari kita renungkan seketika, kalau anda seorang pekerja di pejabat, apa agaknya kerja semalam yang anda tahu penting tetapi tidak dibuat. Mungkin ada borang yang perlu dilengkapkan dan dihantar; atau panggilan kepada pelanggan yang belum dibuat; atau projek yang belum disiapkan malah mungkin belum dimulakan; atau khidmat selepas jualan yang tidak dibuat meskipun berkali-kali anda ingatkan diri anda ia adalah penting. Bagaimana pula dengan urusan di rumah? Anda mungkin dah lama mahu mengecat rumah tetapi sehingga kini masih belum siap; atau menyapu lantai, menggosok baju, mengelap tingkap, mencuci bilik air. Bagaimana pula dengan urusan peribadi anda? Anda tahu sudah tiba waktunya anda menghubungi ibu bapa di kampung; atau emel sahabat yang tidak berbalas dan SMS yang belum dijawab. Anda tahu berat badan mula bertambah dan sudah sekian lama anda mahu turunkan berat badan dengan menjaga diet dan melakukan senaman harian. Sudahkah ia dilakukan? Rambut yang semakin panjang sudahkah dipotong? Kalau direnungkan dengan ikhlas maka kita akan dapati terlalu banyak yang mahu dilakukan dan terlalu sedikit masa yang ada. Kalau tahu masa semakin sedikit kenapa dihabiskan untuk perkara-perkara yang tidak termasuk dalam senarai penting kita? Iaitu senarai yang kita tahu mesti dilakukan segera. Atau anda sebenarnya tidak pernah buat satu senarai pun selama ini? Segalanya hanya dirancang dalam kepala maka tidak hairanlah kalau anda lupa.
Apabila kita bertangguh, kita akan rasa tertekan kerana masa semakin suntuk dan kerja semakin menimbun. Akibat dari rasa tertekan ini ialah kemurungan serta emosi yang tidak menentu. Kesihatan juga turut terganggu dan semua ini pasti menjejaskan produktiviti. Hasilnya, kita menjadi orang yang gagal dalam kehidupan sama ada dari kerjaya, akademik, kesihatan, ibadah, kewangan dan sebagainya.
Kenapa Wujudnya Sikap Bertangguh?
Antara faktor yang menjadi penyebab tangguh ini ialah:
- Pengurusan yang lemah, sama ada dari segi pengurusan diri, masa, sumber dan tugas
- Takut, sama ada takut kepada kegagalan mahu pun takutkan kejayaan. Ada orang takut berjaya kerana kejayaan bermakna tanggungjawab lebih besar, masa makin sibuk dan tiada masa untuk perkara lain, ramai orang yang akan dengki dan sebagainya. Ada pula yang takutkan kegagalan kerana bimbang dikritik, dimarahi, dipandang rendah, takut kerja tidak cukup bagus dan sebagainya. Walau apa sekalipun alasannya, 90% daripada apa yang disangkakan sebenarnya tidak akan berlaku.
- Terlalu mahukan kesempurnaan. Ada ketikanya sesuatu perancangan itu tertangguh perlaksanaannya kerana kita mahukannya terlalu sempurna. Begitu banyak masa dan tenaga dibazirkan dengan mengkaji keburukan-keburukan yang mungkin akan terjadi.
- Masalah fizikal. Masalah kesihatan dan tenaga yang kurang boleh mendorong perasaan malas. Ini membuatkan banyak kerja-kerja gagal disempurnakan kerana diri tidak produktif.
- Masalah sikap. Sikap adalah penyumbang paling utama kepada masalah tangguh. Apabila kita bersikap sambil lewa, ambil mudah dan tiada komitmen serta disiplin terhadap diri kita dan tugas-tugas yang diserahkan maka segalanya pasti akan tertangguh.
No comments:
Post a Comment