TARIKH : 26 Mac 2011 (Sabtu)
TEMPAT : Dewan Seri Kenangan, SMK Seafield
MATLAMAT :
Meningkatkan Tahap Profesionalisme Keguruan khususnya dalam permasalahan Disleksia untuk para guru.
Sejauh mana kes Disleksia berkesan bagi pelajar Seafield??
Kes 1
Atan (bukan nama sebenar) mempunyai masalah akademik yang agak keterlaluan di mana tahap pembacaan, penulisan dan pengiraan berada ditahap yang sangat lemah. Di sekolah, dia selalu mendapat markah ujian yang sangat rendah. Atas alasan itu juga, dia dirujuk ke unit bimbingan dan kaunseling untuk tindakan selanjutnya.
Sesi pertama guru kaunseling hanya meneroka latar belakang dirinya. Atan berkongsi cerita mengenai latar belakang keluarga. Atan berumur 13 tahun dan merupakan anak bongsu daripada 3 beradik. Bapanya bekerja sebagai ahli perniagaan manakala ibunya seorang suri rumahtangga sepenuh masa. Atan mempunyai seorang abang yang bekerja dengan ayahnya serta seorang kakak yang masih belajar di kolej swasta. Menurut Atan abang dan kakaknya bukanlah seorang yang lemah dalam pembelajaran. Malah dia sering meminta tunjuk ajar abang dan kakak sekiranya tidak faham dalam pembelajaran. Ayah dan ibu Atan tahu bahawa dirinya sangat lemah dalam bacaan, kefahaman dan pengiraan namun menurutnya ibu dan ayah tidak mengambil tindakan apa-apa. Intonasi suara Atan agak pelat dan sukar difahami. Dengan itu, pemfokusan diperlukan untuk memahami apa yang disampaikan oleh Atan.
Pada sesi kedua, guru kaunseling banyak menguji Atan melalui bacaan, kefahaman, penulisan dan pengiraan. Atan kelihatan sangat lemah dalam bacaan. Atan langsung tidak tahu membaca melainkan perkataan yang mudah (saya, kami, kita). Apabila mengeja Atan mengeluarkan bunyi yang berlainan. Melalui penulisan pula, Atan tidak dapat melengkapkan abjad A-Z. Ada beberapa huruf yang tidak ditulis (l.p.r). Apabila ditunjukkan gambar, Atan tahu akan gambar tersebut tetapi tidak tahu untuk menulis dan mengeja bagi menamakan gambar itu. Atan juga diminta menyelesaikan pengiraan nombor, dia berjaya menjawab dengan betul tetapi apabila melibatkan nombor yang banyak, dia tidak dapat menyelesaikannya. Atan boleh menterjemahkan ayat bahasa melayu ke bahasa inggeris (ayat yang simple). Namun, dia tidak tahu apabila diminta untuk menulis ayat tersebut. Atan mungkin mengalami simptom-simptom ”dyslexia”. Namun perbincangan akan diteruskan pada sesi akan datang.
Pada sesi seterusnya, guru kaunseling meminta Atan menyatakan kedudukan arah. Namun, Atan tidak tahu menulis untuk menamakan kedudukan arah tersebut. Walaubagaimanapun, dia berjaya menyatakan dengan betul. Guru kaunseling bertanya kepada Atan sama ada tulisan dalam petikan ayat tersebut (ujian diagnostik BM) terlalu kecil atau dia tidak tahu membaca. Atan mengatakan saiz tulisan bukan masalahnya. Tetapi dia memang tidak tahu membaca. Guru kaunseling turut meminta Atan melukis gambar keluarga. Atan kelihatan seronok apabila diminta melukis gambar. Dalam lukisan Atan terdiri daripada dirinya, bapa, ibu, kakak dan abang. Atan turut menamakan setiap gambar tersebut. Namun, tidak tahu untuk menulis apabila diminta. Dalam hal ini, guru kaunseling merujuk kes Atan kepada Pn. Faizah Salleh (Setiausaha Persatuan Disleksia Malaysia) melalui panggilan telefon. Atan ada menunjukkan tanda-tanda disleksia sepanjang sesi dijalankan. Namun, Atan perlu menjalani ujian-ujian yang tertentu daripada tenaga pengajar yang profesional berkaitan disleksia untuk mengesahkan bahawa Atan benar-benar mengalami disleksia atau tidak. Ibu bapa Atan perlu membawanya ke pusat disleksia untuk membantu diri Atan secara menyeluruh.
Pertemuan Pn. Umi (Ibu Atan) (juga bukan nama sebenar) dengan guru-guru merupakan salah satu tindakan ibu untuk membincangkan permasalahan pembelajaran anaknya dan mengetahui bagaimana mencari jalan penyelesaian bagi setiap permasalahan yang dihadapinya. Tindakan yang diambil ialah:
- Menjalani ujian penilaian (Shah Alam) untuk melihat sejauh mana tahap/peringkat disleksia yang dihadapi oleh anaknya.
- Memulakan pembelajaran di pusat disleksia di USJ 4, Subang setelah mengetahui peringkat/tahap disleksia anaknya.
Kini, Atan sedang menjalani rawatan pembelajaran di pusat disleksia USJ 4 selama 3 bulan. Menurut Pn. Umi, Atan kelihatan seronok dan lebih peramah berbanding sebelum ini. Atan bijak menyesuaikan diri dengan suasana di pusat tersebut. Guru-guru dipusat itu juga melihat kesungguhan dan perubahan tingkah laku serta prestasi akademik Atan yang lebih baik daripada sebelum ini.
Pn. Umi juga amat gembira dan menghargai setiap peluang yang diberikan kepada anaknya Atan. Menurut beliau, sudah lama dia menyedari permasalahan ini iaitu semasa di sekolah rendah. Namun, disebabkan tiada alternatifnya maka beliau hanya dapat mendiamkan diri sahaja. Tetapi, apabila dibukakan jalan penyelesaian untuk anaknya maka Pn. Umi bersedia memberi kerjasama dan bantuan sebaik mungkin untuk memastikan anaknya Atan menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar biasa.
Setelah menjalani pembelajaran di Pusat Disleksia
Guru Kaunseling menggunakan pendekatan yang sama kepada Atan iaitu fokus kepada aspek kefahaman, penulisan dan pengiraan.
Dari aspek kefahaman, walaupun Atan masih lemah dalam pembacaan, namun Atan sudah mampu untuk membaca setiap perkataan secara lebih jelas. Masa untuk membaca dalam satu perenggan juga adalah lebih pendek iaitu selama 5 minit.
Dari aspek penulisan pula, ada pekembangan positif dalam diri Atan apabila Atan dapat mengeja dengan lebih baik (2 suku kata). Ada juga perkataan yang tidak dapat dieja oleh Atan dengan baik (terutama yang melibatkan lebih daripada 2 suku kata).
Melalui pengiraan pula, Atan mampu menyelesaikan masalah yang melibatkan lebih daripada 3 digit. Namun demikian, Atan boleh menyelesaikan pengiraan yang melibatkan penambahan dan penolakan sahaja.
Guru Kaunseling juga menguji Atan untuk mengeja perkataan dalam bahasa inggeris. Atan masih lemah dan mengeja perkataan tersebut melalui bunyian di dalam bahasa melayu. Mungkin Atan keliru di antara bahasa melayu dan bahasa inggeris.
Secara keseluruhannya, Guru Kaunseling melihat ada perkembangan positif dalam diri Atan sama ada dari sudut pebelajaran mahupun dari sudut komunikasi. Atan kelihatan berani dan berkeyakinan apabila berkomunikasi dengan Guru Kaunseling. Atan lebih terbuka berkongsi pengalaman bersama Guru Kaunseling.
Diharapkan Atan dapat menyesuaikan diri di sekolah ini selepas menjalani pembelajaran di pusat disleksia tersebut. Segala perkembangan Atan akan dipantau dari semasa ke semasa.
Semoga kes Atan dapat memberi sedikit sebanyak input dan motivasi pada ibu bapa yang lain.
No comments:
Post a Comment