JEMPUT SINGGAH KE ANJUNG BINA KENDIRI SMK SEAFIELD DAN ALAMI SENDIRI PENGALAMAN BERSAMA BOBComp

JEMPUT SINGGAH KE ANJUNG BINA KENDIRI SMK SEAFIELD DAN ALAMI SENDIRI PENGALAMAN BERSAMA BOBComp
BOBComp merupakan komputer interaktif yang dibangunkan oleh ahli PRS, Kelab Kerjaya dan SLAD. Mempunyai aplikasi seperti Ujian-Ujian Psikometrik yang terdiri daripada IPS, IPW, & SDS, KIOSK Kerjaya (Powerpoint berkaitan maklumat kerjaya), Kamus Kerjaya (Senarai 186 maklumat kerjaya mengikut turutan abjad A-Z), Maklumat Perkembangan Kerjaya (Jom Masuk U), dan Program-program UBK.

Monday, January 3, 2011

Untuk Berjaya Perlu Ada Matlamat

Oleh; En. Jafny Hj. Jaapar 
 

Selamat kembali ke sesi persekolahan 2011. Banyak yang ingin kita kongsikan bersama rakan-rakan tentang cuti panjang yang lalui bukan? Namun, selangkah kaki kita ke sekolah semestinya langkah kita itu penuh dengan harapan dan moga-moga di penghujungnya  nanti kita pulang dengan penuh kejayaan. Oleh itu, untuk pulang dengan kejayaan, maka matlamat perlulah kita pasakkan sebagai keazaman sejati yang tidak pernah padam.

Matlamat memudahkan perancangan.  Sekiranya anda ada matlamat, maknanya anda telahpun menetapkan apa yang mahu dicapai dalam suatu tempoh yang tertentu.  Ini pastinya memudahkan lagi untuk anda merancang tugas anda setiap hari, setiap minggu dan setiap   bulan.
Contoh: 
Katakan anda mahu menghabiskan ulangkaji mata pelajaran Sains sebulan sebelum tibanya peperiksaan PMR.  Katakanlah, pelajaran Sains itu mempunyai 24 tajuk dan anda kini mempunyai 6 bulan sahaja untuk menghabiskannya (iaitu sehingga sebulan sebelum PMR.  Ini bermakna anda perlu menghabiskan 4 tajuk Sains setiap bulan, atau lebih kurang 1 tajuk setiap minggu.  Sekiranya anda merancang untuk belajar Sains sebanyak 4 kali seminggu, gunakan 3 sessi yang pertama untuk menghabiskan satu-satu tajuk dan gunakan sessi ke-4 untuk mengimbas semula tajuk tersebut dan menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengannya. 

Matlamat meningkatkan komitmen diri.   Secara tidak langsung apabila anda punya matlamat maka anda merasakan suatu komitmen  perlu diambil untuk memenuhinya.  Sebab sekiranya anda terlalai untuk mengikut setiap perancangan yang telah dijadualkan bermakna anda menggadai masa depan anda sendiri.   Mata pelajaran Sains seperti di atas tidak mungkin dapat dihabiskan hanya sekiranya anda meletakkan komitmen untuk mengikut jadual harian anda sendiri.  

Ingatlah, manusia yang berjaya ialah manusia yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap senarai tugas atau perancangan hariannya.

Matlamat membantu anda membuat keputusan.  Dalam kehidupan seharian anda pasti menyedari betapa sukarnya untuk mendisiplinkan diri mengikut jadual harian anda.  Malah mereka yang mampu mengikut jadual harian jumlahnya terlalu kecil, hanya sekitar 5% sahaja.  Yang lain, sama ada langsung tidak mempunyai jadual harian atau ada jadual tetapi sekadar hiasan dinding dan tidak pernah diikuti.  Kenapa ini berlaku? Jawapannya ialan sebab kita bukannya robot dan bukannya mesin yang boleh dijadualkan untuk berfungsi mengikut masa-masa yang ditetapkan setiap hari.  Malah saya sendiri tidak yakin bahawa jadual adalah penyebab kejayaan seseorang.


Sebagai manusia kita tertakluk kepada begitu banyak faktor-faktor luar jangka, misalnya anda mahu belajar tetapi mak minta jaga adik, ayah minta pergi kedai.  Sebentar lagi ialah waktu untuk buat kerja sekolah tapi di TV pula ada perlawanan akhir bola sepak.  Semuanya ini antara penyebab kenapa anda sukar mengikut jadual belajar anda.  Tetapi dengan adanya matlamat anda pada bila-bila masa boleh mengubah perancangan harian anda asalkan ia tidak meninggalkan kesan atas perancangan jangka panjang anda.  Anda boleh tidak belajar mengikut masa yang ditetapkan tetapi anda perlu ganti semula dan belajar pada waktu yang lain.  Yang penting belajar tetap belajar.  Yang penting setiap tajuk perlu dihabiskan dalam masa satu minggu seperti perancangan asalnya.  Be flexible!!

Matlamat membantu anda mendapatkan pertolongan.
Apabila anda mempunyai matlamat anda mula mengatur perancangan.  Apabila anda  bertindak melengkapkan perancangan, anda mula menyedari dan mengenali kelemahan-kelemahan yang ada pada diri anda.  Ini memudahkan anda mendapatkan pertolongan.  Anda mungkin perlu berjumpa guru setelah mengetahui ada bahagian-bahagian tertentu dalam sesuatu mata pelajaran yang tidak anda fahami.  Anda mungkin bertemu rakan-rakan dan  berbincang dengan mereka.  Ingat tidak ada rakan yang mahu membantu anda disaat-saat akhir kerana mereka sendiri sibuk menelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan.
 
Matlamat pengukur kejayaan Matlamat tidak akan tercapai dengan angan-angan atau impian kosong.  Ia perlu disusuli dengan tindakan.  Kejayaan besar yang diimpikan esok hari ialah himpunan kejayaan-kejayaan kecil yang diraih setiap hari.  Apakah kayu pengukurnya untuk memastikan yang setiap hari anda berjaya?  Bagaimana anda tahu bahawa anda telah berjaya?  Pengukur kepada kejayaan ialah matlamat yang telah dirancang.  Sekiranya anda telah melakukan tindakan dan menyelesaikan tugas seperti yang dirancang maka anda dikatakan sebagai berjaya.  Hari demi hari tanpa anda sedari anda mendaki puncak kejayaan yang lebih besar dan lebih bermakna.  Jadi pastikan sekarang bahawa matlamat anda tidak terlalu kecil sehingga ia tidak bermakna, dan tidak pula terlalu besar hinggakan anda rasakan mustahil untuk mencapainya.  Tetapkan satu matlamat yang anda begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya.

No comments:

Post a Comment